ESTABLISHED IN 1988 IN THE NAME OF PUSAT PERSOLEKAN DAN KOSMETIK MAY MAY, ACCREDITATION BY THE DEPARTMENT OF SKILL DEVELOPMENT(JPK) DIRECTLY UNDER THE MINISTRY OF HUMAN RESOURCES TO BE AS ONE OF SKILLS PRIVATE TRAINING PROVIDER WELL KNOWN IN 2002 UNTIL NOW.

Monday 7 December 2015

800,000 tenaga kerja diperlukan 2015

JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri menjangkakan sekurang-kurangnya 800,000 tenaga kerja mahir dan separa mahir diperlukan menjelang 2015 termasuk bidang hospitaliti. Jumlah itu disebabkan kesan pembangunan pesat di negeri ini khususnya di kawasan Iskandar Malaysia. Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Dan Sumber Manusia negeri, R Vidyananthan berkata, kerjaya tidak semestinya meningkat melalui kelayakan akademik sahaja, tetapi bidang kemahiran turut membantu dalam mendapatkan pekerjaan lebih baik. 

Menurutnya, bidang kemahiran buat masa ini mempunyai potensi tersendiri termasuk memberi peluang dalam memiliki kerjaya pilihan sekaligus mengubah stigma masyarakat yang hanya mensasarkan jawatan berdasarkan kelayakan akademik semata-mata. “Berdasarkan trend itu, saya ingin menyeru ibu bapa dan warga pendidik supaya dapat memberi galakan kepada anak dan pelajar masing-masing untuk membangunkan bidang kemahiran diceburi sebagai matlamat pembentukan kerjaya.

 “Saya juga menggesa supaya pelabur dan pemaju yang terlibat dalam pembangunan di negeri ini memberi keutamaan kepada anak Johor yang mempunyai kelayakan serta berkemahiran diambil berkhidmat di syarikat masing- masing,” katanya. Beliau berkata demikian ketika membacakan teks ucapan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sempena Majlis Pembukaan Pandan Place di Institut Hospitality & Tourism (IHT), di sini, kelmarin. 

Vidyananthan berkata, kerajaan negeri mahu limpahan pembangunan dapat dinikmati secara langsung oleh anak Johor melalui peluang pekerjaan yang boleh diperoleh dari masa ke semasa di negeri ini. “Saya amat berharap semua pelajar dapat memperkasakan pengetahuan dan kemahiran secara serius, konsisten dan berdisiplin untuk merebut peluang kesan pembangunan pesat di negeri ini. “Sudah tiba masanya kita membuka minda dan melihat laluan kerjaya dalam bidang kemahiran mampu meraih pendapatan tinggi sebagaimana negara maju lain seperti Jepun, Korea dan Jerman. Mereka amat menitikberatkan bidang kemahiran selain menjadi pilihan utama menentukan kerjaya,” katanya.

                                                         petikan dari sinar harian

No comments:

Post a Comment