ESTABLISHED IN 1988 IN THE NAME OF PUSAT PERSOLEKAN DAN KOSMETIK MAY MAY, ACCREDITATION BY THE DEPARTMENT OF SKILL DEVELOPMENT(JPK) DIRECTLY UNDER THE MINISTRY OF HUMAN RESOURCES TO BE AS ONE OF SKILLS PRIVATE TRAINING PROVIDER WELL KNOWN IN 2002 UNTIL NOW.

Thursday 2 June 2016

PERMINTAAN TINGGI TERHADAP KEMAHIRAN TEKNIKAL, VOKASIONAL PADA MASA DEPAN



KUALA LUMPUR, (Bernama) -- Kini telah tiba masanya rakyat Malaysia mengikis persepsi bahawa Pendidikan Teknik dan Latihan Vokasional (TVET) hanya layak untuk golongan yang tidak cemerlang akademik. Jika tidak berbuat demikian, Malaysia mungkin perlu mendapatkan sumber pekerja berkelayakan dari negara-negara lain untuk mengisi beribu-ribu jawatan kosong yang bakal wujud dalam tempoh lima tahun akan datang ketika negara ini menuju ke arah mencapai status negara maju, kata penganalisis. Kira-kira 1.3 juta pekerjaan teknikal dan vokasional dijangka diwujudkan menjelang 2020, namun penganalisis menyatakan keraguan bahawa Malaysia mempunyai jumlah rakyat berkelayakan yang cukup bagi mengisi jawatan-jawatan tersebut jika masih di tahap pemikiran masa kini.

Pengarah Urusan German-Malaysia Institute (GMI) Yusoff Md Sahir berkata sudah tiba masanya untuk rakyat menyedari akan potensi TVET, memandangkan skop pekerjaan dalam bidang teknikal dan vokasional adalah sangat luas. Kebanyakan daripada pekerjaan terbabit meliputi bidang perkhidmatan, pembuatan serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Malah, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim, pada awal bulan ini, menekankan agar lebih ramai rakyat Malaysia mengikuti kursus TVET bagi menampung keperluan tenaga kerja dalam sektor-sektor berkaitan.

"Negara kita memerlukan khidmat mereka yang mempunyai kemahiran teknikal dan vokasional ... (malangnya) ada stigma terhadap kursus-kursus teknikal, jadi pelajar kelihatan lebih cenderung untuk memilih bidang profesional," katanya. Berapa lamakah ibu bapa dan pelajar akan terus mengabaikan peluang-peluang kerjaya yang wujud dalam bidang TVET, yang sudah bertahun-tahun ditumpukan kepada golongan yang lemah pencapaian akademik di sekolah?

Memetik statistik daripada Institut Maklumat Pasaran Buruh dan Analisis (ILMIA), Yusoff berkata terdapat kira-kira 3.3 juta pekerja Malaysia yang berumur antara 15 dan 34 yang hanya memiliki kelayakan UPSR, PMR atau SPM. "Maka tidak dinafikan pendidikan dan latihan lanjutan bagi lepasan ini perlu diberi perhatian menerusi TVET mengikut keperluan pasaran kerja," katanya kepada Bernama.

Yusoff yang menegaskan bahawa program TVET perlu direka bagi memenuhi keperluan kedua-dua industri tempatan dan global serta permintaan terhadap kualiti dan tenaga kerja mahir seterusnya berkata bahawa di bawah Program Transformasi Ekonomi Negara (ETP), dianggarkan 3.3 juta pekerja baharu diperlukan menjelang tahun 2020.

Daripada jumlah itu, 1.3 juta dijangka terdiri daripada pekerja TVET dalam 12 Bidang Utama Ekonomi Negara yang dikenal pasti di bawah ETP, menurut laporan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pengajian Tinggi). "Secara amnya, tahap kesedaran masyarakat masih dalam tempoh peralihan (daripada bidang profesional) kepada bidang teknologi tinggi dan kemahiran tinggi.

"Bagaimanapun, apa yang penting adalah untuk memastikan pengalihan kepada teknologi dan kemahiran kepakaran itu dilaksanakan menerusi latihan tersusun atau kolaborasi pintar," kata Yusoff. Mengenai skala gaji pekerja dalam pelbagai industri dan sektor, kata beliau, ia tidak berubah dan tidak setimpal sejak tahun 1990-an, walaupun produktiviti negara meningkat sejak 1992.

"Sudah pasti, model 'low pay' dan 'high profit' sedia ada tidak sesuai bagi sebuah negara yang menuju ke arah mencapai status negara perindustrian di mana sumber manusia atau 'talent' menjadi penggerak. Ia sepatutnya 'high pay' dan 'greater profit'," tegas beliau.

Sementara itu, pensyarah kanan Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Wan Marzuki Wan Jaafar berkata pendedahan awal mengenai bidang teknikal dan vokasional perlu dilakukan secara menyeluruh untuk memastikan bidang tersebut menjadi pilihan utama.

Mengakui bidang profesional masih menjadi pilihan utama masyarakat, beliau menegaskan bahawa kerjaya melibatkan bidang teknikal dan vokasional turut menawarkan pendapatan lumayan.

"Saya melihat masyarakat luar bandar atau pinggir bandar masih belum cukup peka tentang bidang ini, jadi tidak wajar mereka dipersalahkan jika masih menganggap bidang profesional lebih baik bagi anak-anak mereka berbanding teknikal dan vokasional.

"Contohnya, mereka yang bekerja dalam industri minyak dan gas diberikan gaji yang cukup tinggi walaupun ia bukanlah satu kerjaya popular tetapi skop kerja sangat meluas," katanya.

Wan Marzuki berkata banyak peluang pendidikan dalam TVET ditawarkan di institusi pengajian tinggi awam dan swasta di negara ini, sekali gus membuktikan ia amat diperlukan dalam pasaran kerja tempatan.

Justeru, semua pihak harus bekerjasama ini termasuk badan bukan kerajaan untuk mempromosikan bidang ini agar dan masyarakat tidak memandang rendah bidang berkenaan.

Mengulas kepentingan TVET, Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia (MBM) Ahmad Saparudin Yusup berkata kerajaan hendaklah mempunyai perancangan jangka panjang untuk mencari solusi serta mengenal pasti tumpuan pelbagai industri penting dalam usaha membantu rakyat dan ekonomi negara.

"Mengimbas kembali, pada awal 1990-an pernah berlaku lambakan lulusan ICT sehingga menyebabkan ramai antara mereka sukar mencari pekerjaan kerana jumlah graduan dalam bidang itu melebihi permintaan majikan.

"Oleh itu, adalah lebih baik jika tawaran TVET dibuat berdasarkan keperluan semasa dan mengikut arus perkembangan ekonomi negara," katanya.

Ahmad Saparudin turut menasihatkan golongan belia agar sentiasa berfikiran terbuka dan bersikap rasional serta bersedia menerima perubahan baharu demi memajukan diri masing-masing.

"Jika tiada peluang di negara sendiri mengapa belia kita tidak mencuba nasib di negara orang? Timba pengalaman dan ilmu di sana (luar negara) kerana dengan cara itu mereka akan lebih matang, berdikari dan keluar daripada zon selesa," katanya.

Sumber : BERNAMA

No comments:

Post a Comment